Suara Generasi Terbilang

Pewaris Masa Depan Negara

  • Breaking News

    Wednesday, August 2, 2017

    Tarif Elektrik Malaysia Antara Yang Terendah Di ASEAN, Kata ST. #MOFComms


    Tarif elektrik di Malaysia untuk segmen pengguna, kediaman, perindustrian dan komersil adalah antara yang terendah di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan (Pembangunan Industri Elektrik dan Kawal Selia Pasaran) Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Azhar Omar berkata, segmen kediaman menikmati tarif paling rendah kerana ia menerima subsidi lintang daripada sektor perindustrian dan komersil.

    Bagaimanapun di negara maju, tarif untuk sektor industri adalah rendah manakala untuk pengguna domestik pula tinggi.

    "Ini kerana tidak seperti negara lain yang lebih cenderung ke arah penggunaan komersil manakala struktur tarif kita direka bentuk untuk tidak membeban tetapi untuk membantu rakyat," katanya kepada Bernama Radio dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Temu bual itu yang bertajuk 'Tarif Elektrik Kekal' disiarkan pada jam 6.15 petang 11 Julai lalu melalui FM Radio 93.9 MHz dan melalui platform media sosial Facebook live.

    Pada 2008, pengguna menerima rebat RM20 pada bil elektrik bulanan mereka dan kerajaan menyerap caj untuk pengguna yang bil utiliti bulanan mereka kurang daripada RM20.

    Setakat ini kerajaan telah membelanjakan RM1.049 bilion dalam pemberian rebat tersebut, kata Azhar.

    Menurutnya, bagi membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan juga memberi subsidi kepada pengguna dalam pelbagai cara selain rebat.

    "Kos ini terus meningkat dan kita perlu berfikir bagaimana mendapatkan wang untuk membayar kepada mereka. Ketika ini dana itu diperoleh daripada pengeluar tenaga bebas yang telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga dengan ST," katanya.

    Menurutnya, daripada RM1.8 bilion dalam penjimatan daripada rundingan semula, suruhanjaya itu sudah gunakan sehingga RM1.3 bilion.

    "Tidak banyak yang tinggal. Oleh itu pada masa depan, kita mungkin mengenakan surcaj (jika harga bahan mentah terus meningkat atau dalam keadaan kadar pertukaran yang tidak menggalakkan) dan bukan lagi memberi rebat," kata Azhar.

    Menurut beliau, fungsi ST adalah untuk mengawal selia industri bekalan elektrik negara dengan memberi tumpuan kepada tiga perkara, iaitu bekalan elektrik berdaya harap, kos yang munasabah dan selamat digunakan.

    -- BERNAMA

    #MOFComms

    No comments:

    Post a Comment

    Iklan